Thursday 27 January 2011

Biru Pelangi - Prolog

Share
Enam tahun berlalu sejak Fisya meninggalkan zaman persekolahannya. Fisya memegang kad jemputan ke jamuan reunion sekolah lamanya. Lima tahun sebelumnya dia ada menerima kad itu juga tetapi dia tidak pernah datang walaupun menerima sms daripada rakan-rakan meminta dia menghadiri jamuan tersebut. Semua pelawaan terpaksa ditolak dengan baik. Tetapi pada reunion kali ini Fisya datang tanpa dipaksa.

Fisya membetulkan tudungnya. Baju kurung berwarna biru ini sudah lama dibeli memandangkan Fisya tahu yang setiap hujung tahun pasti ada majlis reunion. Lagipun, dia masih ingat lagi pujian yang diberikan seseorang apabila dia memakai pakaian berwarna biru. Hampir enam tahun tiada khabar berita dari rakan-rakannya yang lain. Fisya hanya berhubung dengan rakan baiknya sahaja. Dia melihat jam, masih ada setengah jam sebelum jamuan dimulakan.

Fisya berlari-lari menuruni anak tangga dan terus menuju ke dapur untuk mengambil jam tangannya. Mak Jah melihat Fisya dan menggelang kepala. Dia melihat kunci kereta yang berada dalam bekas menggantung kunci tersebut. Fisya melihat kunci kereta yang ada. Abangnya Farish pasti keluar kerana kunci kereta milik abangnya tiada di situ.

“Fisya, kamu cari apa lagi tu ?” Mak Jah keluar dari dapur.

“Er… Mak Jah, kunci kereta Fisya tak ada pun. Mak Jah nampak tak ?”

“Kamu dah lupa ke ? Farish pakai kereta kamu. Bukan ke si Farish bagi pinjam kereta dia dekat kawan perempuan dia tuh siapa namanya ? Cici ? Lili ?”

Fisya tergelak mendengar Mak Jah menyebut nama buah hati kesayangan abangnya, Farish. “Qiqi la Mak Jah… Cici tu nama kucing Fisya lah.”

“Hah, budak Qiqi tu lah yang dia bagi pinjam. Nama dia pun dah dekat dengan kucing manalah Mak Jah ingat. Dah tua lah katakan.”

“Ok lah Mak Jah. Dah lambat. Pergi dulu.” Fisya menghulur tangan dan bersalaman dengan Mak Jah.

“Assalammualaikum Mak Jah.” Fisya memberi salam dan terus mencapai kunci kereta Toyota Caldina milik abangnya. Dia sendiri tidak tahu sudah berapa buah kereta yang dibeli abangnya. Bagi Fisya cukuplah apa yang sudah ada. Kereta rasanya ada empat buah agaknya. Kemungkinan juga abangnya akan menambahkan lagi beberapa buah kereta sebagai koleksi peribadi dia. Rumah banglo tiga tingkat yang mereka tinggal sekarang ni pun dah cukup besar atau nak lebih tepat dah cukup melampau besarnya sampaikan Fisya sendiri tidak habis melawat lagi sejak dia tinggal bersama abangnya.

Fisya memasuki kereta dan melihat jam tangannya. Masih ada setengah jam sebelum bermulanya jamuan reunion tersebut. Pandangannya beralih ke arah sampul surat berwarna biru. Dia mengambil sampul surat tersebut. Cantik warna biru ni kata Fisya dalam hati. Dia mengeluh dan meletakkan sampul surat tersebut ke tempat asalnya. Sampul surat itu dibiarkan, kemungkinan milik Farish. Fisya tidak mahu menyentuh barang abangnya kerana takut dimarahi.

Fisya terus memandu berhati-hati menuju ke Hotel Allson Klana. Perjalanan cuma mengambil masa selama 15 minit dari rumah Fisya kerana rumahnya berdekatan dengan hotel tersebut. Selepas 15 minit, Fisya telah pun memasuki ke kawasan parking hotel tersebut. Dia melihat sekeliling dan mengeluh. Dia risau kehadirannya mengundang masalah kepada orang lain. Fisya keluar dari keretanya dan melihat beberapa orang bekas pelajar sekolahnya sedang gelak ketawa di luar kawasan hotel.

Dia berjalan menuju ke dalam hotel tersebut. Sudah enam tahun tidak mendengar tawa rakan-rakannya. Fisya masih tidak perasan ada seorang lelaki yang asyik melihatnya dari jauh. Seorang lelaki yang sangat dia kenali sejak dari alam persekolahan.

No comments:

Post a Comment